Header Ads

Melantik Bukan Islam dalam Pemerintahan

CYBERJAYA: Islam membenarkan kalangan bukan Islam yang berkelayakan dilantik dalam pemerintahan negara dalam urusan dibenarkan, demikian menurut Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau memperincikan pengambilan bukan Islam dalam pentadbiran kementerian pemerintahan negara yang diletakkan para ulama fekah politik sebagai 'Wazaratul Tanfiz'.

Penjelasan itu diberikannya dalam sesi dialog pada Konvensyen Profesional Malaysia bertema "Mempersada Kerajaan Teknokrat" di Promenade, Garden Residence, di sini semalam.

Iaitu terangnya, mereka menerajui urusan berkaitan polisi dan masalah semasa dan setempat mengikut keadaan, tetapi tidak boleh dilantik sebagai 'Wazaratul Tafwid' yang berkait polisi dan dasar akidah negara.

"Al-Mawardi ulama Mazhab Syafi'ie yang sangat keras, kalau baca kitab Imamul Haramain kitab Ghiyats mengatakan mesti orang Islam, tak boleh lantik orang bukan Islam.Kita harap ustaz kita bukan sahaja baca kitab je, kena baca sejarah ulama ini, masyarakat dia.

"Imamul Haramain dia tinggal di Makkah Madinah, di sana tak ada Hindu, tak ada Buddha, tak ada Kristian tak ada apa masyarakat situ. Al-Mawardi tinggal di Iraq yang bercampur dengan berbagai-bagai agama dan masyarakat, dia menangani masalah-masalah yang dia faham dengan masalah dia tanpa menjejaskan akidah.

"Bahkan apabila orang Islam melantik orang bukan Islam dalam Kabinet pemerintahan Islam, mereka merasa mereka dihargai, dihargai, dihargai. Ini juga sebahagian daripada konsep dakwah untuk memperkenalkan Islam kepada orang bukan Islam. Masalah dia nak terima Islam, itu cerita lain, kita tak paksa dia terima ataupun tidak," ujarnya memetik pandangan Al-Mawardi itu.

Menurutnya, Islam amat mengutamakan hujah dan setiap pertentangan dihadapi dengan hujah biar beraliran demokrasi, komunis, liberal, Kristian, Hindu dan sebagainya, tetapi bukan melalui kekerasan.

Keadaan itu kata beliau, sebagaimana ditunjuk sejarah di mana telah berlaku orang bukan Islam menganut Islam, sementara agama lain tetap terpelihara walaupun berada di bawah pemerintahan Islam.

Beliau memberi berlaku contoh di Mesir di mana terdapatnya Gereja Kristian Ortodok Koptik yang dibina sebelum kelahiran Nabi Muhammad masih kekal selamat termasuk para penganutnya.

Begitu juga katanya, rumah-rumah ibadah Hindu dan Buddha di Indonesia yang masihnada hingga kini di mana semua itu menunjukkan pemerintahan Islam tidak memaksa anutan.

Penjelasan beliau itu juga turut menjelaskan perbezaan peranan Kerajaan Teknokrat Islam dengan Kerajaan Teknokrat yang ada di dunia hari ini.

No comments