Maut Tercampak 20 Meter
HULU TERENGGANU - Seorang lelaki maut setelah tercampak kira-kira 20 meter, manakala seorang lagi cedera parah apabila motosikal yang ditunggang mereka secara berasingan bertembung di Kilometer 37 Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi, di Kampung Bukit Diman, kira-kira jam 8.15 malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim berkata, kemalangan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Diman itu dipercayai berlaku apabila motosikal Yamaha 125 ditunggang Muhammad Azraai Jali, 21 dari arah Ajil ke Bukit Besi terbabas masuk ke laluan bertentangan.
“Akibatnya, motosikal ditunggangnya bertembung motosikal EX5 dinaiki Mohamad Syazwan Zun@Zulkifli, 18, bersama seorang pembonceng, Muhammad Jasnin Fahkimie Abdul Hadi, 19. Kesemua terlibat berasal dari Kampung Bukit Diman,” katanya.
Meninggal di tempat kejadian
Menurutnya, pertembungan itu menyebabkan Muhammad Azraai mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mohamad Syazwan turut parah di kepala serta kaki kiri. Bagaimanapun, pembonceng motosikal EX5 hanya cedera ringan.
“Mangsa yang maut dihantar ke Hospital Hulu Terengganu. Penunggang EX5 kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu,” katanya.
Beliau berkata, pengguna jalan raya diingatkan agar sentiasa berhati-hati serta peka terhadap segala papan tanda dan peraturan ditetapkan selain turut mengambil langkah keselamatan termasuk memakai topi keledar keselamatan dengan betul.
Minta RM10 untuk beli air
Sementara itu, ayah Muhammad Azraai yang hanya ingin dikenali sebagai Jali, 40-an berkata, kejadian menimpa anak bongsu daripada tiga beradik itu benar-benar mengejutkannya apatah lagi ia berlaku hanya kira-kira 15 minit selepas anaknya keluar dari rumah.
“Saya sampai di rumah dari tempat kerja lebih kurang jam 6.30 petang sebelum disusuli Muhammad Azraai setengah jam kemudian. Bagaimanapun, selepas Maghrib, dia keluar semula dan minta RM10 daripada saya untuk buat minum air.
“Bagaikan tidak percaya apabila ada seseorang hubungi beritahu yang anak saya telah tiada kerana terlibat dalam kemalangan,” katanya.
Tergamam dengar berita
Menurut Jali, dia tergamam seketika selepas mendengar berita kemalangan tersebut sebelum bergegas ke lokasi kejadian yang terletak tidak jauh dari rumahnya.
“Anak saya ini kerja di pelantar minyak, tapi sudah tiga bulan dia tak pergi ke laut dan bila ditanya mengenai hal ini jawapannya, nantilah dulu.
“Walaupun sukar untuk percaya kemalangan ini terjadi, namun saya reda ketentuan-NYA,” katanya sebak.
Sumber Sinar Harian
Post a Comment